Ticker

6/recent/ticker-posts

Makanan Yang Wajib Dicuba Bila Berkunjung Ke Sarawak

Makanan Yang Wajib Dicuba Bila Berkunjung Ke Sarawak | Seperti yang kita sedia maklum, Sarawak merupaka negeri yang mempunyai pelbagai kumpulan etnik serta kaya dengan budayanya. Setiap kumpulan etnik mempunyai gaya hidup tersendiri termasuk la dari segi makanan. Malah makanan dari Sarawak bukan sahaja menjadi kegemaran bagi masyarakat setempat malah turut menjadi santapan bagi masyarakat di luar Sarawak. 


Kini untuk menikmati makanan Sarawak sudah tidak sukar kerana di semenanjung sudah banyak restoran yang menyediakan makanan Sarawak. Seperti saya yang belum pernah jejak kaki di bumi kanyalang ini juga sudah beberapa kali merasa makanan Sarawak. Tapi apabila saya berpeluang untuk terbang ke Sarawak, sudah tentu lah saya mengambil peluang untuk marasai keunikan makanan Sarawak kan. Orang kata lebih nikmat gitu... 


Terima kasih diucapkan kepada pihak Tourism Malaysia yang menganjukan program LAWATAN EKSPRESI MEDIA INFLUENCER CUTI-CUTI MALAYSIA SARAWAK (9 - 13 NOVEMBER 2022) dan memberi peluang kepada saya selaku wakil dari Projek Travel untuk menyertai program lawatan ini. Berikut antara makanan yang wajib dicuba bila berkunjung ke Sarawak :


Laksa Sarawak

Sebaik sahaja tiba di Sarawak, hidangan pertama yang kami nikmati adalah Laksa Sarawak. Hidangan yang menjadi signature di negeri Sarawak ini boleh dinikmati dimana-mana sahaja di seluruh negeri Sarawak. Namun lokasi yang kami singgah adalah di King Laksa Sarawak (Icom Square).


Laksa Sarawak secara asasnya menggunakan bihun yang dicelur dan dimakan bersama udang, hirisan telur dadar, hirisan ayam yang telah direbus, taugeh, sambal belacan dan juga limau nipis. Walaupun Laksa Sarawak ni kelihatan sama sahaja tetapi percaya lah, setiap restoran mempunyai identiti sendiri dalam menghasilkan Laksa Sarawak terutama pada kuahnya. Penggunaan santan, sambal dan juga pelbagai bahan yang lain menghasilkan kuah Laksa Sarawak yang pekat dan sedap. 


Bagi saya Laksa Sarawak di King Laksa Sarawak (Icom Square) memang padu dengan kuahnya yang pekat. Portionnya pun besar untuk satu mangkuk dan bahan yang diletakkan juga banyak. Tengok la udangnya, meriah kan. Memang nang nyaman laa (Maksudnya 'sangat sedap', perkataan baru yang saya belajar di sini.. hehe)

Alamat :
King Laksa Sarawak
(Icom Square)
Ground Floor, Unit A101 & Unit 102
Block A, Jalan Pending
93450 Kuching, Sarawak


Mee Kolok

Mee Kolok pada asalnya bukanlah makanan dari etnik di Sarawak tetapi sebaliknya adalah makanan dari masyarakat Cina yang berhijrah ke Sarawak. Mee Kolok biasanya disajikan bersama sup dan sambal. Semasa di Sarawak saya berpeluang menikmati 2 jenis mee kolok di 2 lokasi berbeza. Walaupun kedua-duanya dipanggil mee kolok namun bahan yang digunakan adalah berbeza.

Mee Kolok Di Grand Margherita Hotel

Semasa di Sarawak kami menginap di Grand Margherita Hotel. Sahabat saya ada memberitahu yang mee kolok di hotel ni sedap. Jadi saya pun tak ketinggalan untuk mencubanya. 


Inilah rupa mee kolok di Grand Margherita Hotel. Mee kolok di sini menggunakan hirisan ayam bersama dengan sup kosong dan sambal kicap. Tetamu di hotel ini boleh makan mee kolok ni ketika sarapan pagi.

Alamat :
Grand Margherita Hotel
Jalan Tunku Abdul Rahman, 
93100 Kuching, Sarawak


Mee Kolok Di Kafe Madam Tang

Pada hari terakhir di Sarawak, saya berpeluang sekali lagi untuk menikmati Mee Kolok tapi kali ni di Kafe Madam Tang yang terletak di Jalan Petanak. Mee Kolok di sini berbeza dari yang saya makan sebelum ini kerana menggunakan daging lembu termasuk dengan urat keting. Kuah supnya juga berbeza kerana berwarna lebih gelap dan sambalnya pula seperti berwarna merah. 



Alamat :
Madam Tang
Lot 16, Wisma Nation Horizon, 
Jalan Petanak, 93100 Kuching, Sarawak


Linut Dan Tumpik


Linut

Tengok rupa macam kenal kan. Ya, biasanya kalau lihat menu ni mesti automatik akan sebut ambuyat. Rupanya menu ini juga popular di Sarawak dan dipanggil Linut yangt merupakan makanan tradisional dan selalu dinikmati oleh salah satu kaum etnik di Sarawak iaitu Melanau. Linut ini biasanya dimakan bagi menggantikan nasi. 


Kami rasa bertuah kerana dapat melihat sendiri bagaimana Linut dibuat. Cara masaknya sangat mudah di mana tepung sagu digaul dengan air yang panas sehingga menjadi pekat dan kental seakan-akan jeli. Cara makannya pula enak dimakan bersama lauk pauk seperti sambal belacan, sayur keladi, umai, ikan terubuk masin dan macam-macam lagi.

Tumpik

Resipi kedua yang ditunjukkan masih juga menggunakan tepung sagu bersama kelapa parut iaitu Tumpik. Cara masak pun mudah, hanya gaulkan kedua-dua bahan tersebut  dengan sedikit garam dan masak di atas kuali seperti lempeng. Cara makan pula dicicah dengan gula apong.


Kedua-dua menu ini boleh dinikmati di restoran Dapur Melanau. Terdapat juga pelbagai menu lain yang terutama makanan tradisi kaum Melanau boleh didapati di sini. 

Alamat :
Dapur Melanau
Lot 14171 
(Sublot 38 Of Survey Lot 13766) 
Section 65 (Ground Floor), 
Metrocity, Petra Jaya,
93050 Kuching, Malaysia


Kek Lapis Sarawak


Kalau datang ke Sarawak memang wajib beli Kek Lapis Sarawak kan. Bukan sekadar untuk diri sendiri malah ramai yang membeli sebagai buah tangan. Di Sarawak, Kek Lapis Sarawak selalu dihidangkan semasa perayaan ataupun majlis-majlis keraian. Tapi kini kek lapis Sarawak sudah dikomersialkan malah ada pelbagai jenama di pasaran. 


Kunjungan kami ke Sarawak sempat singgah di salah satu pengeluar Kek Lapis Sarawak iaitu Kek Lapis Warisan Sdn Bhd. Di sini terdapat lebih 30 jenis Kek Lapis Sarawak yang dibahagikan kepada 3 kategori iaitu All Time Favorite, Super Premium dan Premium. Semua kek lapis di sini dihasilkan dengan rapi menggunakan bahan yang berkualiti. Ini adalah untuk memastikan rasa kek lapis Sarawak di sini sedap dan memenuhi citarasa ramai. Memang rambang mata nak pilih yang mana tapi mujur la ada tester. Jadi dapat la rasa dulu sebelum beli. 


Apa yang menariknya di Kek Lapis Warisan Sdn Bhd. ini para pelanggan dapat melihat sendiri cara pembuatan kek lapis Sarawak kerana mereka mengamalkan konsep dapur terbuka. Bukan tu sahaja, ketika kunjungan ini kami juga diberi peluang untuk membuat kek lapis Sarawak (2 orang wakil iaitu sis kemboja dan Sizzling Suzai). Rupanya bukan senang ye nak hasilkan kek lapis ni sebab memerlukan kepantasan untuk membuat setiap lapisan supaya tiada yang hangus dalam ketuhar.


Bagi saya kek lapis Sarawak milik Kek Lapis Warisan Sdn Bhd. memang sedap dan teksturnya pun lembap. Dari segi rasa pun berlainan bagi setiap kek mengikut nama dan bahan yang digunakan. Memang takde istilah kek warna warni tapi  rasa sama je ye. Jadi kalau ke Sarawak boleh la singgah di Kek Lapis Warisan Sdn Bhd. untuk membeli Kek Lapis Sarawak.

Alamat :
Kek Lapis Warisan Sdn Bhd.
No 24, Lot 149, 
Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, 
Kuching, Malaysia


Ikan Terubuk Masin

Sepanjang berada di Sarawak, kebanyakan tempat makan yang kami singgah pasti akan menghidangkan ikan terubuk masin. Seperti yang kita tahu ikan terubuk memang banyak tulang tapi bila digoreng rangup memang tak terasa tulangnya yang banyak tu. Nak lebih enak, ikan terubuk masin yang telah digoreng dihidangkan bersama dengan cili padi dan juga limau. Perghh.. memang membuka selera la.


Bukan sekadar makan je tapi kami turut berpeluang untuk melihat bagaimana ikan terubuk masin diproses di Kedai Zizie Terubok (Warisan).  Ikan terubok masin di sini dikatakan lebih sedap kerana menggunakan ikan terubuk no satu di Sarawak dan bukannya ikan terubuk import. Rasa ikan ini lebih lemak dan manis. 


Rupanya ikan terubuk masin tidak dikeringkan ye. Kami diberi penerangan bagaimana ikan terubuk masin dihasilkan bermula dari awal iaitu proses siang ikan, kemudian diletakkan garam supaya ikan terubuk masin tahan lama dan tidak busuk. Proses pembungkusan juga perlu dilakukan dengan rapi dengan membalut ikan di dalam plastik dan surat khabar sebelum dimasukkan di dalam kotak. 






Ini bagi memudahkan untuk pelanggan membawa pulang ikan terubuk masin terutama bagi yang datang dari semenanjung. 

Alamat :
Zizie Terubok (Warisan)
Bersebelahan dengan Kek Lapis Warisan

Sebenarnya ada banyak lagi menu makanan yang menarik hanya ada di Sarawak tapi hanya ini yang saya dapat kongsikan. Jadi andai ada yang ingin datang ke Sarawak, jangan lupa untuk mencuba menu makanan yang saya kongsikan ni. 

Semoga senarai artikel di atas memberi anda inspirasi & kemudahan untuk merancang percutian di Negeri Sarawak pada masa akan datang. Sila kongsi di sosial media kalian untuk manfaat bersama. Selamat cuti-cuti Malaysia di Sarawak. Wassalam.



Catat Ulasan

0 Ulasan