Ticker

6/recent/ticker-posts

NEGERI SELANGOR PERKUKUH SEGMENTASI PELANCONGAN KESIHATAN DI MALAYSIA HEALTHCARE EXPO (MHX) 2022



Penyertaan Kali Kedua Pamer Komitmen Tinggi Tourism Selangor Terhadap Segmentasi Pelancongan Kesihatan dan Pemerkasaan Kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!”

Kerajaan Negeri Selangor menerusi Agensi Promosi Pelancongan Rasmi, Tourism Selangor sekali lagi meneruskan penyertaan di Malaysia Healthcare EXPO (MHX) 2022 bertempat di Pusat Beli-belah Central Park, Jakarta pada 24 – 27 Mac lalu.

MHX 2022 yang dianjurkan oleh pihak Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) buat julung-kali pada tahun 2020, terpaksa ditangguhkan penganjuran pada tahun lalu ekoran pandemik Covid-19 yang melanda dunia. EXPO tersebut kembali tahun ini dengan mengumpulkan pelbagai pihak melibatkan pihak hospital, Pusat Kesihatan dan penjagaan ambulatori Malaysia bagi mewujudkan kesedaran dan pendedahan akan perkhidmatan rawatan kesihatan yang terdapat di Negara Malaysia, khususnya di Negeri Selangor.

Kesinambungan penganjuran EXPO pada tahun ini juga mempamerkan kesungguhan pihak MHTC dan Tourism Selangor dalam mengetengahkan kelebihan pelancongan kesihatan sebagai satu cabang pelancongan yang memainkan peranan yang signifikan di rantau ini, terutamanya di Negeri Selangor.

Delegasi dari Negeri Selangor diketuai oleh Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor, dengan diiringi oleh Tuan Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, dan wakil dari Sunway Medical Centre, Ramsay Sime Darby Healthcare, Alpha IVF Group dan KPJ Healthcare Berhad.

Tuan Azrul Shah dalam sebuah kenyataan berkata, “Saya yakin, penganjuran EXPO kali ini akan dapat menarik-minat orang ramai, khususnya penggemar aktiviti pelancongan, serta tarikan keaslian dan keunikan Nusantara yang menjadi kebanggaan kita bersama. Kerajaan Malaysia akan membuka semula sempadan Negara kepada pelancong antarabangsa bermula 1 April ini, dan ianya tidak terhad kepada pelancongan kesihatan sahaja, namun secara total, di mana pelancong dari Republik Indonesia dapat kembali menikmati keunikan pelancongan Negeri Selangor.”

“Negeri Selangor mempunyai 46 hospital dan Pusat Kesihatan yang mempunyai peralatan medikal canggih dan moden, serta kepakaran perubatan yang berkelayakan tinggi, bagi memberi sebuah pengalaman pelancongan kesihatan secara total, dengan tumpuan kepada perkhidmatan dan layanan mesra kepada para pelancong kesihatan’, tambah Tuan Azrul Shah.

Sepanjang berada di Jakarta, delegasi dari Negeri Selangor telah terlibat dengan sesi pertemuan Government-to-government (G2G) bersama pihak Tourism Malaysia Jakarta. Kerajaan Negeri Selangor menerusi Tourism Selangor mempamerkan fokus yang tinggi dalam menguasai keseluruhan segmentasi pelancongan bagi mencapai visi untuk melakar nama Negeri Selangor di peta dunia dan meningkatkan profil Negeri dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.

Republik Indonesia merupakan Destinasi Terbaik bagi Mengembangkan Pasaran Pelancongan Kesihatan

Golongan berpendapatan pertengahan dan tinggi di Indonesia telah melihatkan pertumbuhan yang positif di mana permintaan terhadap produk dan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti tinggi turut menunjukkan peningkatan di Republik itu. Trend dan pilihan ini telah menyumbangkan kepada peningkatan permintaan di negara di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Hal ini berkemungkinan besar disumbangkan oleh faktor lokasi Malaysia yang hampir dengan Indonesia, jaringan perhubungan dua hala yang efisien, serta kebudayaan setempat dan pertukaran mata wang yang hampir sama. Negeri Selangor pula merupakan pintu gerbang kemasukan ke Malaysia dengan dua lapangan terbang, Kuala Lumpur International Airport (KLIA), KLIA2, dan Boustead Cruise Centre, Pelabuhan Klang bagi kemasukan menerusi kapal persiaran.

Negara Malaysia merupakan destinasi yang tidak asing lagi bagi tujuan pelancongan kesihatan dengan pengiktirafan seperti Top Country for Healthcare Travel by Volume pada tahun 2018 seperti yang direkodkan oleh pihak International Medical Travel Journal (IMTJ), serta anugerah “Destination of the Year” di IMTJ Awards untuk tahun 2015, 2016, 2017 dan 2020.

Jumlah pelancong kesihatan ke Negara Malaysia juga terus meningkat dari tahun ke tahun. Pada tahun 2019 sebelum pandemik, seramai 1.3 orang pelancong kesihatan telah mendapatkan rawatan di Malaysia. Dari jumlah ini, 60% adalah pelancong dari Indonesia, seterusnya mengungguli kedudukan di tangga pertama bagi jumlah kedatangan pelancong pelancongan kesihatan ke Negeri Selangor pada tahun sama.

MHX 2022 merupakan sebuah landasan terbaik bagi memberikan pendedahan kepada umum serta mewar-warkan keunikan Negeri Selangor kepada wakil-wakil media dan pelancong bertempat di Republik Indonesia. Hal ini dilihat berpotensi untuk meningkatkan penjenamaan Negari Selangor sebagai destinasi pelancongan kesihatan unggul di rantau Asia Tenggara, bertepatan dengan Kempen “Splendid Selangor, Take Me Anywhere!” yang sedang giat digerakkan oleh pihak Tourism Selangor, khususnya di laman media sosial.

Selaras dengan pembukaan semula sempadan Negara Malaysia kepada pelancong antarabangsa bermula 1 April ini, pihak Tourism Selangor mengalu-alukan kedatangan pelancong antarabangsa ke Negeri ini, bukan hanya untuk pelancongan kesihatan, malah juga bagi menerokai tempat-tempat dan destinasi pelancongan menarik di sekitar Negeri ini.

Untuk maklumat lanjut tentang industri pelancongan di Negeri Selangor; layari www.selangor.travel, laman web rasmi Tourism Selangor yang serba informati dan komprehensif, atau ikuti kemas-kini pihak Tourism Selangor di landasan media sosial Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan saluran YouTube.

Catat Ulasan

0 Ulasan